Suasana di sekitar rumah Mak Minah agak kecoh. Zahira,
anaknya dipinang lagi! Siapa lagi kalau bukan bosnya yang berstatus bujang
walaupun umurnya sudah menjangkau lewat 30-an. Katanya, dia selalu makan tengahari
dengan Zahira kerana tugasnya sebagai pembantu peribadi memerlukan
keberadaannya hampir setiap masa.
Walaupun Mak Minah sudah menjelaskan bahawa anak daranya yang
seorang itu bakal melangsungkan perkahwinan apabila mereka sudah bersedia tapi
Encik Arman tetap mengambil risiko malu. ‘Malu tapi mahu?’ Hati Mak Minah
keliru. ‘Mungkin juga si Arman ni dah buat sesuatu dengan anak aku?’ Hati
ibunya diusik-usik dengan fikiran nakal.
“Makcik, saya yakin hati saya ikhlas.” Arman cuba meyakini
ibu Zahira.
Zahira yang tidak ada di rumah ketika itu langsung tidak
tahu-menahu mengenai kedatangan majikannya itu. Dia yang berada di pejabat
menyangka Encik Arman menghadiri mesyuarat bersama pengarah Mhe-Demag Malaysia.
Bersama pemandu khas syarikat, katanya tidak akan berada di pejabat selama dua
hari.
“Zahira, mak nak cakap sikit ni.”
“Apa dia mak?” Zahira dekatkan corong telefon bimbit, biar
fokus dengan butir perkataan yang bakal ibunya ucapkan.
“Mak nak kau putus tunang dengan Rafiq!” Mak Minah ujar
dengan selamba.
“Mak, kenapa tiba-tiba buat keputusan?” Terkejut, suaranya
ditinggikan sedikit.
“Kau dengan Rafiq tu dah lima tahun tunang. Sampai sekarang
tak kahwin! Sampai bila lagi mak nak tunggu kau bersedia?” Butir peluru dimuntahkan
laju, tanpa jeda.
“Tapi mak...”
“Mak nak kau terima pinangan Encik Arman, bos kau.”
“Bos Ira?” Zahira terkejut. Kepalanya terasa seperti dihempap
batu besar. Seluruh jiwanya lemah.
“Meen, kau tahu tak?” Zahira mula meluah kepada sahabatnya.
“Apa?” Meen pandang tepat muka Zahira.
“Mak aku suruh kahwin dengan Encik Arman? Gila ke apa orang
tua tu?” Lantas dia sedut jus oren yang dia pesan sebentar tadi.
“Bos kau?”
“Ya, Meen. Serius. Mak aku guna alasan Rafiq yang tak serius
nak kahwin. Padahal... semua ni salah aku. Apa patut aku buat, Meen?”
“Fikir baik-baik, Zahira. Kau kena fikir masa depan kau
sendiri. Bukan semata-mata mengikut kehendak mak kau. Kau pun tahu kau tak suka
Rafiq atau Arman.”
“Masalahnya mak aku bagi tempoh seminggu untuk buat
keputusan!” Zahira menambah butir bicara. Matanya kini ditumpukan pada dua
kanak-kanak yang sedang makan.
‘Mak nak timang cucu...’ Akhirnya Zahira buat kesimpulan.
Zahira sedut nafas dalam-dalam, kemudian dia hembus
semahunya. Dia kesal dengan ibunya, hendak dilawan nanti jadi derhaka.
Tanpa diketahui oleh majikannya, Zahira mengambil keputusan
untuk bercuti. Bukan satu hari, dua
hari, tiga hari, empat hari tapi lima hari... maksudnya satu minggu! Walaupun
belum diluluskan, dia bawa diri ke Pulau Mutiara, Langkawi seorang diri. Encik
Arman tidak menyangka Zahira akan bertindak demikian.
Zahira tiba di tanah yang juga dikenali sebagai Permata Kedah
pada pukul 5 petang. Lantas dia menuju deretan kaunter yang menawarkan
perkhidmatan kereta sewa. Sememangnya mudah sahaja untuk mencari kereta sewa di
sana, baru keluar dari kapal terbang berpusu-pusu pengusaha teksi datang ke
arah bakal penyewa atau pelanggan.
Kereta yang dipandu menuju ke sebuah hotel berdekatan Pantai
Cenang yang dia sudah tempah sehari sebelum itu. Zahira nekad untuk mencari
ketenangan walaupun sedikit untuk dirinya sendiri. Baginya, hanya dirinya yang
dapat mencari jawapan terhadap semua persoalan yang berlingkar dalam hatinya.
Hari telah senja sewaktu Zahira keluar ke balkoni tempat dia menginap.
Dia menikmati hembusan bayu segar dan panorama matahari terbenam. Kelihatan
beberapa orang kanak-kanak yang ditemani ibu bapa mereka masih ralit mandi air
laut. Tidak kurang juga yang yang bermain istana pasir. Mata Zahira bercahaya,
seolah digenangi air.
Selesai menunaikan solat Maghrib, Zahira hidupkan enjin kereta
sewa. Dia mahu mencari makanan untuk mengisi perutnya yang lapar. Kedai makanan
melayu yang mempunyai pilihan makanan laut menjadi pilihan hati Zahira. Ikan
pari bakar bersaiz sederhana menepati seleranya.
“Excuse me, can I sit
here?” Zahira meminta kebenaran seorang lelaki berkulit putih untuk duduk
semeja. Meja lain tampaknya sudah penuh, dia tak mahu tunggu lama.
“Yes, boleh. Please.” Lelaki bermata biru dan
berambut perang kerinting itu senyum dan mempersilakan Zahira.
Zahira duduk dengan tenang sambil membelek pesanan di WhatsApp yang masuk bertalu-talu. Ada
mesej daripada ibunya, rakan sepejabatnya, Meen, Rafiq dan Encik Arman. Selepas
hidangan yang dipesan tiba di meja, dia pun makan tanpa mempedulikan orang
sekeliling.
“Miss, you’re alone?
Saya fikir kamu tunggu kawan.” Lelaki berbaju T-shirt berlogo Pantai Cenang itu
bertanya.
Zahira tersentak. Dia malu tiba-tiba. Dia renung wajah lelaki
itu. Cukup beberapa saat dia bertanya, “Awak boleh cakap Melayu?”
“John. Not really,
sikit-sikit only...” dia hulur
tangan.
“Maaf.” Zahira buat isyarat yang dia tidak boleh hulur
tangan.
“Oh, sorry.” John
malu. Waktu itu dia sudah siap makan. Dia kini teguk air Sarsi dari botol kaca.
“I’m Zahira.
Self-travel.” Ringkas sahaja dia memperkenalkan diri. Dia teruskan makan
dengan penuh selera.
“Okay, here’s my card.
I’ll be going now” John hulur kad namanya yang ringkas. Tertulis di situ
Vintage Book Garage beserta alamat dan nombor telefonnya.
Zahira letak tepi kad itu. Dia teruskan makan sambil melihat
gelagat orang ramai. Ulasnya dalam hati sekarang tak begitu ramai pelancong
tempatan sebab bukan musim cuti sekolah kecuali pekerja dan beberapa pelancong
lain. Dia teliti juga setiap inci wajah mereka manalah tahu ada yang kenal
dirinya.
Niat mengelilingi pasar malam diteruskan apatah lagi selepas
terlihat ‘mamat’ yang sama di sebuah lot kedai. ‘Oh, itulah agaknya kedai buku
yang dia maksudkan tadi!’ Hatinya bergumam. Ditujukan langkahnya ke arah rakan
semejanya makan sebentar tadi. Dia gelak kecil.
“Hi, John!” Ramah
Zahira menegur. Dia pelik dengan karenahnya sendiri. ‘Aku datang sini dengan
hati yang berduka lara bukan penuh suka cita untuk tegur orang tak dikenali.’
Zahira mengingatkan dirinya.
“Hello. Mahu beli
buku?”
“Wandering around.”
Zahira jawab.
Zahira pusing-pusing ruang kedai itu. Kebanyakan buku
berbahasa Inggeris dan agaknya sudah lama terbit. Bau harum buku vintaj klasik
memasuki rongga hidungnya. Dia nampak juga koleksi buku sastera William
Shakespeare yang dia pernah pelajari sewaktu di Tingkatan Enam. Ada juga buku
Jane Eyre karya Charlotte Bronte. Matanya kini memandang gambar-gambar seorang
wanita muda yang cantik, banyak dibingkaikan di dinding kedai.
“That’s my late
fiancee. She involved with a tragic accident three years ago in this land.”
Tanpa dipinta, John berkisah mengenai tunangnya. Tambahnya lagi, dia akan
pulang ke Australia setiap tiga atau enam bulan untuk menziarahi keluarganya.
Dia tidak mahu roh tunangnya keseorangan. Menurutnya, kemalangan tragik itu
menyebabkan tubuh badan tunangnya digilis sehingga hancur. Hanya cebisan yang
dapat disemadikan.
“Well. That’s my part.
Kamu pula?”
“I ran away.”
Zahira kemudian ketawa kecil. Dia ternampak satu kerusi kecil dan duduk di
situ. Akhirnya, dia luahkan perasaan dan kekecewaannya terhadap lelaki bernama
John. John juga aneh, dia dengar kisah Zahira dengan tekun. Nampaknya John juga
berminat dengan kisah sebegitu.
“Well, you need to
choose well... if you can’t follow your
mother’s wish, you need to talk with her. Jangan lari dari rumah. Jadi
budek baik.”
“B U D A K. Not budek.” Zahira ketawa.
Zahira meninggalkan Vintage Book Garage dengan hati yang
lega. Dia keluar dengan nekad untuk beritahu apa yang ada jauh di kedalaman
hatinya. Malam itu juga dia telefon ibunya dan meminta maaf. Dia senyum.
TAMAT

No comments:
Post a Comment