‘Magnum Opus’, itu yang tertera di skrin kaca telefon bimbitmu. Mungkin kau sedang bergumam sendiri
memikirkan tawaran yang kau terima. Kata-kata Adrie Juanca juga berlegar-legar
dalam kotak fikiran. Semua itu bercampur aduk, seperti memakan sesuatu yang
sarat dengan pelbagai bahan. Andai terkurang satu ramuan, maka kurang sempurna
menu itu.
Enam
bulan lalu...
“Selepas dua hari, kamu
boleh keluar dari wad. Apa-apa temu janji boleh rujuk di kad yang akan nurse bagi,” doktor mengakhiri bicara.
Kau dirawat oleh doktor
yang berusia dalam lingkungan 40-an. Kakimu yang disimen putih dari hujung kaki
hingga ke pangkal paha, ternyata tidak dapat diterima oleh akal positifmu. Kau
keliru dan gusar.
Kau terlibat dalam
kemalangan, mujur kau terselamat. Allah masih sayangkan nafasmu dan yang pasti
usiamu juga masih panjang. Selepas sepuluh kilometer dari rumah, kau menuju ke
pejabatmu yang terletak di Pinnacle Quest Commercial Centre, secara tidak
diduga, sebuah kereta menekan brek kecemasan apabila lampu isyarat bertukar
menjadi merah. Ah, sialan! Di mana letaknya mata pemandu kereta itu? Kau
terpelanting sedikit ke hadapan dan dihempap sendiri oleh beratnya
motorsikalmu.
Kau tidak sedarkan diri
sehinggalah ahli perubatan mencuci luka di kakimu. Kau cuma kaku di situ.
Barulah kau rasa sarafmu bagai dikoyak dan dihiris, dengan kesakitan yang
kaurasa saat Povidone (ubat cuci
luka) ditenyeh ke kakimu. Kau akhirnya bertanyakan pada mereka yang
mengelilingimu, “Kenapa aku tak boleh angkat kaki kananku?”
Doktor itu senyum nipis.
Kau makin penasaran. Tunggu dulu doktor, jangan khabarkan sekarang padanya!
“Narssimo, kaki kananmu...
patah,” saat telinganya mendengarnya, dia terasa kepalanya berpusing-pusing dan
pandangannya malap sebentar. Bersikap tenang itu yang kau cuba usahakan, tapi
kau sudah tidak selesa. Kaki kananmu tidak akan berfungsi buat masa ini, entah
berapa lama, entah juga berapa minggu, mungkin selamanya tidak berfungsi. Kau
semakin tidak keruan. Semuanya tidak tenteram. Kelam sekelam-kelamnya.
Setelah dua malam di
hospital, kau dibenarkan untuk pulang. Kautelan ludah, saat sahabatmu menolak
kerusi roda yang kaududuki. Tenang sahaja perilakunya membantumu memasuki perut
kereta Swift TJX miliknya. Kau tidak banyak bicara. Entah mana pergi semua
keramahan mulutmu? Kau kata mahu singgah ke balai polis untuk buat laporan,
diturutinya juga. Di hadapan rumah sewamu pula, kau minta sebatang rokok
Dunhill. Ah, baru tiga hari kau sudah mencari kembali asap yang tidak
berkhasiat itu? Bukankah doktor menyarankan agar kau tidak menghisap Nicotiana tobacum, setidaknya sehingga
tulang yang patah itu menyambung seperti sedia kala. Entah apa namanya, tibia atau fibula, pengamal perubatan lebih tahu.
Saat kau menelefon
orang atasanmu, mereka cuma mengiyakan. Reaksi terkejut ditunjukkan walaupun
hanya kaudengar melalui corong telefon bimbit. Sijil cuti sakit yang tempohnya
dua bulan kau hantar melalui e-mel. Ah, cuti lagi!
Kau khabarkan apa yang
menimpa dirimu pada saudara terdekatmu. Pada merekalah kau bergantung setelah
kehilangan ibu, bapa dan adik perempuanmu empat belas tahun dahulu. Ah, kau
masih kecil ketika kau bergelar anak yatim. Pakcik saudaramu mengusulkan agar
kau pulang ke rumahnya, nanti mereka akan panggilkan tukang urut terbaik. Kau
iyakan, tapi hati kecilmu menafikan.
Kau lihat kaki kirimu
dalam keadaan baik. Kau bersyukur tapi kaki kananmu telah hilang upayanya. Berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sedaya upaya kau topangkan ketiakmu
pada penopang yang diberi oleh sahabatmu. Kau ucap terima kasih.
Balai Polis Subang Jaya
menjadi destinasi terakhir sebelum pulang ke rumah. Sahabatmu tetap menemani
sehingga laporan selesai dicetak.
*****
“Narssimo, aku fikir
kami akan mencari penggantimu buat sementara waktu,” Angelo berkata perlahan.
Dia tarik nafas panjang sebelum menyambung kembali bicaranya, “Kau tidak
mungkin akan sembuh dalam masa yang singkat. Latihan mesti diteruskan walaupun
kau tiada...”
Kata-kata itu
membuatkan kau semakin kacau. Kau rindu pada kombinasi kayu Birch, Falkata dan
Mahogany yang memuaskan, penuh bulat dan menendang. Walaupun set dram itu kosnya
tinggi, namun cirinya yang fleksibel membuatkan kau lekas mahir bermain dram.
Kau akur, kau angguk-angguk kepala tanda merelakan posisimu digantikan, padahal
air mukamu sudah cukup menampakkan ketidakpuashatianmu.
Tiga minggu berlalu,
rutinmu ternyata sama sahaja. Bangun tatkala jam sudah menunjukkan pukul 12
tengahari, kau celikkan mata dan kaurenung lagi kakimu. Ah, bukan kaki tapi
simen! Kaurapatkan kedua kaki sehingga kau akhirnya lelah. Setelah puas mata
menonton televisyen seharian, kau hantar pesanan ringkas pada sahabatmu,
meminta simpati agar dibelikan makanan yang kaugemari, set burger yang dibakar
lantas dilelehkan keju dan sos lada hitam.
“Narss, ada kiriman
daripada seorang gadis. Barangkali peminat.”
Kau kerut dahi. Kaukata
kau tidak menunggu sebarang pos atau bungkusan.
Sahabatmu beri satu
kotak kecil dan nota. Kau buka dengan mata cerlung kerana kau mahu tahu segera.
Tahap intuisimu sangat tinggi.
“Pelik,” kau letak tepi
bungkusan itu dan menggeliat. “Aduh, kaki...” mengeluh lagi lalu berfikir
dengan lebih dalam.
‘Kau
kejar apa lagi di dalam dunia ini?
Sedang
kau tahu masamu tidak lama
Berhenti
berlari, bro!
Beri
dirimu rehat yang panjang
Nanti
suatu masa kau akan kembali
Pada
ruang dan dimensi yang lain
Ambillah
waktu untuk tafakur
Mengabdi
pada Pencipta yang Satu’
*****
Waktu tidurmu selalu dan
sentiasa lewat, walau kau tahu tidur itu satu proses penyembuhan. Kadang
keluhan dari mulutmu keluar juga. Kau tersisih oleh Frapucinnosisme. Itu nama
kumpulan muzikmu. Semuanya idea dan cadangan dari Medulla Oblongata milik seorang lelaki yang bernama Narssimo.
Kau cuba mencari maksud
sebenar bait kata Anura. Dua hari lamanya kau selongkar fail digital komputer
ribamu. Semuanya bagaikan teka-teki yang perlu dirungkai tanpa bertangguh lagi.
Anura, pelajar jurusan
Undang-undang di universitimu juga. Menggemari muzik sama seperti dirimu. Kau terhenti
pada perenggan dua yang mencatitkan bahawa, “... koma selama tiga bulan akibat kemalangan jalan raya. Walau
bagaimanapun, dia terselamat dan daya
ingatannya serta laporan kesihatan oleh hospital menunjukkan bahawa dia sihat.
Dia meneruskan pengajian yang tertangguh disebabkan masalah kesihatan.”
Kau hantar pesanan
ringkas pada Anura. “Apa yang kau cuba sampaikan?”
“Tenang,” pendek
jawapan Anura.
“Apa?” kau semakin
ingin tahu.
“Frapucinnosisme
dipelopori oleh orang seperti kau. Kau tunggak mereka, tapi kenapa kau diamkan
sahaja? Mereka... aku dengar mereka akan ubah nama itu dan sisihkan kau...”
Kau getap bibir. Kau
mahu melampiaskan marah tapi kaki kananmu membataskan pergerakan. Meja di
bilikmu menjadi mangsa. Kau hempaskan tanganmu sekuat-kuatnya. Sia-sia, kaki
kananmu tidak mampu membawa tubuhmu ke tempat ahli lain memainkan muzik Progressive Rock, atau Classic Rock pada asalnya.
“Sama ada kau mahu
tuntut hakmu atau barangkali bersedia untuk meninggalkan mereka...” mesej terakhir
daripada Anura kaubaca satu persatu.
Kau berjumpa dengan
Angelo, saat itu kau merasakan ibarat kehilangan dua kaki. Penopangmu terasa
berat sehingga dua kali ganda. Lagu We
Are The Champions yang pernah menjadi halwa telingamu suatu saat dahulu
menjadi I Am The Loser. Kata Angelo
lagi, pengganti juga sudah ada dan mereka sedang giat membuat persiapan dan
latihan.
Kau menghabiskan
hari-hari cuti dengan menulis, apa sahaja yang terlintas dalam fikiran. Kau
juga sering mengkritik lirik lagu yang kau dengar, skrip drama yang
dipertontonkan malah kepetahan pengulas radio dan pengacara program. Secara
kasar, kau boleh penuhkan 50 keping kertas bersaiz A4 dengan tulisan tangan.
Semua aksara itu kau letakkan di atas meja. Sesetengahnya kautaip dan kaucetak
lalu kaulekatkan di dinding kamar. Kau gigih menulis tanpa henti, sehinggakan
kau tidak hiraukan makan dan minum bahkan siang dan malam.
Tatkala kau menerawang di media sosial, kau terlihat ‘Tulis
Lirik Lagu’ yang temanya bebas. Kauhantarkan beberapa rangkap lirik yang kau
kira mampu menarik perhatian pendengar. Ah, kau juga seorang pendengar! Kau
berjaya menggunakan elemen puisi sebagai lirik lagu. Bait-bait lirik itu
mendapat reaksi positif daripada juri. Namamu, Narssimo diperkatakan di media
sosial. Mereka mendefinisikan ia sebagai viral!
Suatu ketika setelah kau
dijemput ke suatu majlis para pengkarya, kau seperti terlihat kelibat Angelo.
Di sebelahnya seorang gadis yang kau kenal, ya... Anura! Gadis yang menghantar
kotak kecil dan nota itu! Gadis itu kini pengganti pemain dram kumpulan
Awakening, itu posisi lamamu selain Lambard, Gynie dan Kenta ketika masih bersama
Frapucinnosisme.
Frapucinno itu katamu
memang sedap dan meninggalkan suatu rasa sentimental tapi itu hak milik kau.
Tukarlah nama ke Mocha, Caramel atau apa sahaja tapi sebab kau pelopor yang
mengusulkan nama ini. Maka, tiada siapa yang ada hak untuk menggunapakai
Frapucinnosisme. Selamat tinggal kenangan lalu. Selamat tinggal semua.
TAMAT














