Bolki menyeka manik-manik peluh di dahi
ibunya seusai mereka mencabut rumput-rumput kecil yang merenek di keliling
sayur sawi. Bolki suka benar sayur sawi, masak tumis atau sup sayur sawi dia
tidak pernah kisah. Kegemarannya ialah sawi putih.
Hari masih pagi benar, mentari pagi jua
belum muncul, embun yang bersemayam masih terasa saat melangkah ke perkebunan
yang ekarnya kecil cuma.
“Mak, Mak... basai uda ayui awi aya!”
“Ya, Bolki. Mama nampak. Kamu kan budak rajin.
Pagi, petang kamu siram.” Ibunya senyum. Dia memerhatikan anaknya yang berusia
tujuh tahun itu.
Kasihan Bolki. Dia tidak cukup sempurna
seperti rakan sebayanya. Anak lain seusianya sudah memulakan minggu pertama persekolahan.
Bolki bukan cacat. Bolki cuma tidak dikurniakan deria pertuturan yang normal,
tapi dia cukup sifat. Fizikal dan keletahnya sama seperti anak orang lain. Tapi
kenapa Bolki?
*****
Tanggal
15 Julai 2007 anakku dilahirkan di sebuah Klinik Kesihatan di Ranau,tiga belas
kilometer dari daerah kelahiranku. Ya Allah, terima kasih. Karunia ini terlalu
bererti. Tiada yang dapat menandingi rasa kasihku kepada ibunya yang juga
isteriku Sahada, yang bergadai nyawa melahirkan cahaya mata penyambung zuriatku.
Namun, keberadaanku di negara Brunei Darussalam membuatkan aku sedikit
terkilan. Aduhai, dua hari lagi sebelum kepulanganku menemui kalian. Cepatlah
berlalu detik-detik di perantauan ini.
Sahada,
anak itu akan kita tatang seperti minyak yang penuh. Aku mahu dia jadi orang
yang luar biasa seperti pemerintah negara Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Dia disanjung
tinggi oleh rakyatnya dan dimuliakan kerana sifatnya yang mendahulukan agama. Tapi
kau harus sebut ‘Yang Maha Mulia’ jika jasadmu menginjak bumi ini kelak, yang terkenal
dengan kekayaannya. Bukan kekayaan melimpah-limpah yang aku maksudkan tapi
hatinya tulus, tiada galang gantinya. Mungkin aku tidak akan kembali ke negara
ini lagi. Aku sudah tidak sabar mahu menyerahkan sesuatu yang kau pernah minta.
Yiruma! Rinduku terlakar di setiap alunan piano saat kau pandang tepat ke
Gunung Kinabalu.
Aku
teringin mengisahkan perjalananku pada coretan ini. Aku khuatir tidak berkesempatan
menatap wajah anak kecil kita. Brunei, bukanlah negara besar tapi ia teratur.
Kereta yang ada di sini akan berhenti di setiap lintasan pejalan kaki, tapi
jika tidak, kau harusswas-was. Kebanyakan orang tua pula aku panggil Haji atau
Hajah. Ah, kita mesti hormat dengan penduduk di sini tambahan pula tujuan aku
ke sini untuk bekerja. Mereka juga memanggil aku Awang Muqmin. Kalau kamu ada
denganku kamulah si Dayang Sahada.
*****
“Apa? Mumin sudah tiada? Tidak mungkin.
Dia sudah janji akan pulang hari ini. Kamu bohong!” Sahada racau.
“Ya, Sahda. Allah sudah menjemputnya
ketika dalam perjalanan pulang. Kecelakaan jalan raya. Kami tidak mampu menyegerakan
kepulangan jasadnya.” Amin, sahabat Muqmin memberi kepastian.
Sahada tunduk. Tangannya berpaut pada sisi
pangkin kayu rumahnya. Dia mengangkat kepala lalu melihat anaknya yang tidur di
buaian. Anak itu tidur lena.
Rukiah keluar ke beranda dengan curiga tatkala
menatap raut wajah Sahada. “Kenapa Amin? Apa yang sudah berlaku?” Pertanyaan
dilontarkan.
Mukanya ditolehkan ke arah dua lagi
lelaki yang menemani kehadiran Amin disitu, entah siapa mereka dan apa tujuan
mereka ke situ.
“Mak cik, maafkan kami. Kami mahu
mengkhabarkan berita dari seberang. Anak mak cik...” Amin seperti kehilangan
kata. Andai diulang lagi perkhabaran itu, bakal menambah kenestapaan Sahada. Tambahan
pula, dia masih dalam tempoh pantang.
“Amin... kenapa nak?” Ibu Muqmin semakin
penasaran.
Salah seorang lelaki memegang bahu Amin,
seolah memahami keadaan. Hatinya menaakul sendiri, barangkali arwah Muqmin dan
Amin sememangnya rapat dari kecil.
“Maaf mak cik. Nama saya Awang Patawari.
Sebenarnya, anak mak cik kemalangan. Dia dilanggar sewaktu melintas jalan.
Arwah ada...”
“Ya Allah! Muqmin sudah tiada? Sahda....”
Rukiah memaut erat tubuh Sahada seraya menghamburkan tangis sedu, dipalingkan
matanya ke arah cucunya. Dia bungkam. Sahada hilang dalam alam khayalnya,
keluar dari realiti yang mengganggu-gugat benaknya.
“Kami datang untuk serahkan barangan
arwah Mumin. Beg duitnya juga kami temui. Barangan yang lain saya akan bawa kemudian,
sebab kami mahu menyewa pengangkutan darat. Kami mohon maaf mak cik. Jasadnya sudah
disempurnakan, tapi...”
“Nak... terima kasih kerana datang. Eloklah
kamu pulang dan sampaikan pada ketua kampung. Malam nanti kita buat bacaan doa
untuk arwah.”
“Baiklah kalau begitu. Kami pergi dulu
mak cik. Barangan arwah semuanya ada di situ.”Amin mengunjukkan ibu jarinya
pada beg dan juga kotak yang terletak di tepi sofa lama yang diletakkan di luar
rumah. Di situlah juga tempat Muqmin acapkali duduk setelah mengerjakan kebun
sayur bersama arwah bapanya dulu.
“Mak....” Matanya sudah merah, gerak
tubuhnya mulai longlai, Sahada mendapatkan ibu mentuanya.
Kini mereka tinggal bertiga sahaja,
bersama anak kecil yang belum sempat ditatap oleh suaminya. Bahkan suaminya
belum berkesempatan untuk mengabadikan potret bersama anaknya. Bahari pula iaitu
bapa mentua Sahada, baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.
*****
Sahada meraup mukanya selepas menunaikan
solat. Perkhabaran mengenai suaminya begitu mengusik hatinya yang baru sahaja
bergelar ibu. Ajal, siapa yang mampu menidakkan aturan Tuhan. Suaminya sudah
pergi. Sudah tiada. Terkilan sanubari seorang isteri kerana suaminya tidak
berada di sisi sewaktu melahirkan Arman.
Kotak berbalut surat khabar itu dibuka
perlahan. Raut wajahnya berubah. Ada cakera padat, beberapa keping gambar
pernikahan mereka dan gambar suaminya berlatarbelakangkan Bandar Seri Begawan. Ada
juga dua buah lukisan yang mungkin dibeli atau diberikan oleh sesiapa, dia juga
tidak pasti. Beberapa pucuk surat yang tersisip kemas pada buku nota itu juga
dibaca. Ayat demi ayat yang ditulis menunjukkan seolah-olah dia sudah tahu
masanya untuk dipanggil oleh Yang Esa pada bila-bila masa, bahkan sangat dekat.
*****
Sahada,
kerjaku bukanlah seperti yang dikatakan oleh Amin. Dulu katanya, aku mungkin
kerja amah, supir, buruh bangunan atau tukang kebun. Bayangkanlah di Malaysia
nilai Ringgit, RM2.70 itu bersamaan 1 Dolar Brunei. Aku mahu sekali
mengkhabarkan kepada ibu, bapa dan semua bahawa aku ditakdirkan bertemu Haji
Jalani. Dia bertanya sama ada aku pernah bekerja sebagai tukang masak. Sudah
tentu jawapanku tidak. Mungkin kalian selalu memuji air tanganku yang sedap
tapi siapalah aku untuk bekerja di istana di raja. Akhirnya dia menawarkan aku
kerja sebagai pembantu dapur.
Bekerja
di istana semasa majlis besar diadakan sangat memenatkan. Pernah satu ketika
seorang chef tumbang di dapur setelah bekerja empat hari disebabkan kepenatan. Lenguh, kejang dan melecet jangan ditanya.
Aku perlu membantu menyediakan bahan mentah dan peralatan memasak, prosesnya pula
bermula dari pagi hingga lewat malam. Jika ayam bakar sebagai hidangan,
bertan-tan ayam perlu disediakan. Aku juga mula mengambil tahu apa yang
digemari oleh putera sultan mengikut cita rasa mereka. Terkadang, ada
permintaan baru yang datang secara tiba-tiba maka chef terpaksa memasang gear
lima untuk menyediakan makanan, apatah lagi kami orang bawahan yang hanya
mengikut arahan.
*****
“Assalamualaikum....”
“Waalaikumusalam, mak.” Sahada menoleh
ke ruang buaian anaknya. Kelihatan ibu mertuanya sudah menggendong cucunya.
Cucu yang tidak berkesempatan melihat raut wajah ayahnya.
“Mak, izinkan Sahda menukar nama Arman....”
Kening ibunya naik sedikit. Mungkin
terkejut. Dia membiarkan Sahada berada dalam terawangan fikiran sendiri. Arman
yang sudah boleh membuka matanya sedikit, seolah-olah senyum. Rukiah turut
tersenyum hambar. Ah, berbahagialah kamu wahai cucuku. Bapamu sudah tiada.
Akhirnya Rukiah juga turut tewas melayani perasaannya tika itu.
Malam telah lewat benar saat Sahada
menyambung bacaannya pada coretan arwah suaminya. Dia terharu kerana Muqmin
bekerja keras walaupun tinggal jauh daripada mereka. Kata orang, suami dan
isteri yang berjauhan akan timbul banyak masalah di kemudian hari. Namun, suaminya
sememangnya rajin, taat kepada kedua ibu bapa malahan selalu cuba untuk
menunaikan permintaan sesiapa sahaja.
“Arman, mulai saat ini namamu Bolki... Bolkiah!”
Sahada mengucup dahi anaknya. Sebelum Muqmin meninggalkannya untuk berkelana,
nama Arman sudah dipilih jika anak dalam kandungannya itu lelaki. Manakala,
jika anak yang bakal lahir itu perempuan, mereka sudah sepakat untuk menamakannya
Aishah. Sungguh, kerinduan kepada arwah suaminya hanya seperti jarak lima sentimeter
dari puncak Gunung Kinabalu, nampak seperti dekat dan boleh digapai namun,
sebenarnya sangat jauh dan mustahil.
*****
“Mak, Mak... Mak, ada oyang atang!”
Sahada menyeka air mata yang mula
bergenang. “Siapa Bolki?”
Sahada terkejut. Seorang lelaki yang
seperti pernah dilihatnya beberapa tahun dahulu berjalan bersama beberapa
individu lain yang tidak dikenali. Cuma Amin yang dia kenali.
“Sahada, kau masih ingat pada kami?” Awang
Patawari tenang.
Sahada kerut dahi. Dia angguk.
“Maaf jika kehadiran kami mengganggu,
tapi Haji Jalani ada hajat ke mari.”
“Dayang Sahada, maafkan kami kerana
begitu banyak tahun berlalu belum diberi kesempatan bertemu.” Haji Jalani memulakan
bicara.
Sahada cuma tenang, Bolki juga berdiri
di sisinya. Tangan anaknya masih terlihat tanah dari kebun.
“Saya bersimpati dengan keadaan kamu
sekeluarga. Sebelum ini, saya tidak pernah selidik punca sebenar kecelakaan
itu. Kami tidak pernah tahu kejadian sebenar yang menimpa arwah tujuh tahun dulu.
Sampailah anak lelaki saya sendiri buat pengakuan... apa yang berlaku
disebabkan kecuaiannya. Sekarang dia sangat menyesali kesilapannya. Saya mohon
maaf bagi pihak anak saya.”
Hati Sahada seperti dicarik-carik, satu demi
satu coretan suaminya bertukar menjadi bait-bait rindu yang menyakitkan. Dia
memeluk Bolki erat.
“Beberapa hari sebelum arwah meninggal, dia
ada menyatakan hasrat untuk bawa keluarganya ke Brunei.” Haji Jalani tidak
berdaya menatap lama wajah sugul di hadapannya. Wajah yang sarat dengan
bertahun kedukaan.
“Ikutlah kami untuk menziarahi pusara
suami kamu, Sahada. Di sana juga ada pakar perubatan yang mampu membantu
masalah pertuturan anak kamu.” Amin memandang Sahada, juga makcik Rukiah, ibu
sahabat baiknya.
Pandangan Haji Jalani beralih kepada
anak kecil yang masih ralit di sisi Sahada. Dia tersenyum dari tadi, mirip
sekali dengan Awang Muqmin. “Anaknya siapa nama?”
“Boki... ya...” tutur anak kecil itu lambat.
“Bolkiah?” Haji Jalani mahukan
kepastian.
Sahada mengangguk kecil dan senyum.
TAMAT